Jawapan MKN kepada surat Nur Adilla Abd Rahim
Sejak
kebelakangan ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati banyak
pihak mengambil peluang untuk memberikan pandangan dan tidak kurang juga
kritikan berhubung pelaksanaan operasi pengurusan banjir terutama di
Pahang dan Terengganu. Justeru, MKN terpanggil untuk memberikan respon
terhadap surat terbuka daripada Nur Adilla Abd Rahim bertajuk Surat terbuka kepada Majlis Keselamatan Negara bagi
menjelaskan keadaan sebenar serta menangkis persepsi negatif terhadap
jentera pengurusan bencana negara yang dicanang pihak tidak
bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Penulis
menyatakan kehairanan beliau terhadap tahap ketidaksiagaan badan-badan
kerajaan tertentu sedangkan Malaysia menghadapi situasi banjir saban
tahun. Luahan beliau, hanya apabila Ahli Parlimen Kuantan membawa
perkara mengenai banjir di Kuantan ke Dewan Rakyat barulah ia mendapat
perhatian pemimpin tertinggi negara. Hal ini memperlihatkan bahawasanya
kedua-dua penulis dan Ahli Parlimen Kuantan tidak mengikuti perkembangan
semasa.
Banjir
yang berlaku di Kuantan bermula pada 2 Disember 2013 dan Ahli Parlimen
Kuantan hanya membawa perkara ini ke Dewan Rakyat pada 4 Disember 2013.
Pada waktu YB Fuziah Salleh mengutarakan usul berkenaan, anggota tindak
balas sudah pun beroperasi selama dua hari bagi mengeluarkan mangsa
untuk dipindahkan ke pusat pemindahan dan mangsa yang berjaya
diselamatkan adalah seramai 13,460 orang di Kuantan sahaja. Pemindahan
seluruh negara setakat jam 12.00 malam 4 Disember 2013 melibatkan 21,
253 mangsa. Sebenarnya, Puan Nur Adilla dalam tulisan ini memberi
gambaran bahawa YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan tidak turun ke
padang sewaktu banjir mula berlaku serta tidak mengikuti perkembangan
banjir di kawasan Parlimen Kuantan yang beliau wakili.
Dakwaan penulis dan juga Ahli parlimen Kuantan turut memperlihatkan ketidakfahaman mereka tentang sistem pengurusan bencana negara yang setaraf dengan sistem antarabangsa seperti badan-badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) yang meliputi aktiviti sebelum, semasa dan selepas berlakunya sesuatu bencana.Adalah tidak adil bagi penulis untuk menyimpulkan bahawa operasi menyelamat, memindah, dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir hanya dilakukan oleh MKN setelah ditekan dan didesak oleh ahli politik. Perlu dijelaskan di sini bahawa MKN menguruskan bencana tanpa dipengaruhi sebarang fahaman politik mahupun individu berkepentingan. Prioriti utama adalah menyelamatkan nyawa tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, serta fahaman politik seseorang.
Walhalnya,
sebelum dicadangkan oleh penulis sekali pun, MKN saban tahun mengambil
langkah melakukan persiapan sebelum berlakunya bencana banjir. Hasil
daripada post-mortem pengurusan banjir bagi musim tengkujuh lalu
digunakan bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti supaya jentera
pengurusan banjir akan datang lebih berkesan dalam memberikan
perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Sejurus
negara menghampiri musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut 2013/2014,
MKN mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP)
pada 24 September 2013 sebagai langkah persediaan awal. Jabatan
Meteorologi Malaysia (JMM) menjangkakan sebanyak 4 hingga 5 episod hujan
lebat akan berlaku dalam tempoh sehingga Mac 2014. Episod hujan lebat
yang menyeluruh selama 3 hingga 7 hari akan menyebabkan risiko
berlakunya banjir. Melihatkan keadaan ini, MKN mengarahkan supaya agensi
serta aset pengurusan banjir diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.
Untuk makluman, wakil kerajaan Negeri turut dijemput untuk menghadiri
Mesyuarat JPBP bagi berkongsi maklumat mengenai persediaan jentera
pengurusan banjir serta ramalan keadaan cuaca. MKN negeri juga
mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri
masing-masing bagi menyelaraskan persediaan di peringkat negeri dan
daerah.
Pendek
kata, kerajaan melalui pelbagai agensi pengurusan bencana termasuk MKN
melakukan semua persediaan yang perlu bagi memastikan operasi menyelamat
dan perpindahan dilakukan sepantas mungkin bagi mengelak kejadian tidak
diingini serta memastikan bekalan dan keperluan di pusat pemindahan
adalah mencukupi.
Untuk
makluman penulis, seramai 56,997 anggota daripada Angkatan Tentera
Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,
serta Jabatan Pertahanan Awam di seluruh negara diletakkan dalam keadaan
bersiap sedia untuk memberikan bantuan. Selain itu, aset kerajaan yang
boleh dikerahkan untuk operasi banjir di seluruh negara ditempatkan
mengikut zon. Melihat kepada keadaan banjir semasa di pantai timur, MKN
dan agensi-agensi tindak balas berkaitan mengambil tindakan untuk
menggerakkan kekuatan dan aset di negeri-negeri yang tidak dilanda
banjir bagi meningkatkan keupayaan agensi tindak balas dalam operasi
banjir di kawasan yang terjejas banjir.
Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi yang bertanggungjawab dalam
pengurusan di pusat-pusat pemindahan mewartakan sebanyak 4,696 pusat
pemindahan di seluruh negara yang boleh menempatkan seramai 1.3 juta
mangsa. 54% daripada pusat pemindahan yang dikenal pasti adalah Kompleks
Penghulu, Dewan Orang Ramai, Pusat Komuniti, dan lain-lain. Selebihnya
adalah sekolah. Selain itu, JKM juga menubuhkan Depot Simpanan Keperluan
Bencana dan Stor Bencana Negeri di beberapa lokasi strategik di
Pengkalan Chepa, Kemaman, Bedong, Sungai Buloh, dan Muar. Selain itu,
terdapat 513 Pangkalan Hadapan bagi menyimpan stok barangan makanan dan
barangan bantuan bencana ke kawasan yang berisiko terputus hubungan atau
terputus bekalan.
Namun,
manusia hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya.
Perancangan dan persediaan tidak selalunya berjalan lancar terutama
dalam keadaan dunia yang mengalami perubahan iklim. Penulis seharusnya
sedar cabaran yang dihadapi oleh agensi pengurusan bencana apabila
terpaksa berdepan dengan cuaca ekstrem yang membawa kepada bencana.
Dalam kes di Kuantan, rekod cerapan hujan dari 1 hingga 3 Disember
adalah sebanyak 900 mililiter. Cerapan ini adalah tiga kali ganda
daripada jumlah cerapan sepanjang Disember bagi 2012 iaitu 330
mililiter sebulan. Faktor ini, ditambahkan dengan fenomena air pasang
besar menyebabkan air naik dengan mendadak sekali.
Sistem
ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) setaraf dengan negara
maju. Namun, apabila melakukan ramalan bagi cuaca tropika seperti di
Malaysia, ia ternyata agak sukar dan ini turut diperakui oleh
pakar-pakar meteorologi dunia. Ramalan berlakunya episod hujan walaupun
dapat dilakukan 7 hari ke hadapan namun ia tidak dapat menentukan lokasi
tepat kejadian hujan, sebaliknya hanya secara umum. Lanjutan daripada
ramalan JMM, amaran awal disebarkan melalui media termasuk media
elektronik dan bantuan polis supaya penduduk di kawasan berisiko
berjaga-jaga. Sejurus air mula naik, agensi penyelamat melakukan operasi
pemindahan.
Mengenai
dakwaan tentang bantuan yang lambat tiba serta keadaan yang teruk di
pusat pemindahan, ia harus dicerna dengan minda yang rasional. Harus
difahami bahawa kerja pemindahan memerlukan masa berikutan keadaan
cuaca, jumlah mangsa, serta faktor yang tidak dapat dielakkan. Terdapat
mangsa yang enggan berpindah meskipun dipujuk dan akhirnya terkandas
berikutan air naik terlalu dalam.
Peningkatan
mendadak jumlah mangsa banjir melebihi jangkaan awal menyebabkan
keadaan agak tidak tersusun di pusat-pusat pemindahan pada peringkat
awal. Ekoran daripada kenaikan aras air yang tinggi akibat hujan ekstrem
dan air pasang besar, terdapat beberapa pusat pemindahan turut
dibanjiri. Mangsa di pusat pemindahan berkenaan terpaksa ditempatkan di
pusat pemindahan lain yang menyebabkan sedikit kesesakan.
Berikutan
situasi ini, JKM juga terpaksa mengambil langkah menyusun semula
pengagihan bekalan makanan dan bahan mentah bagi memastikan keperluan
mencukupi. Selain itu, pihak berkuasa turut mengalami cabaran daripada
segi logistik bagi menghantar bekalan berikutan keadaan cuaca yang buruk
serta jalan raya ditenggelami air. Namun, ini hanya berlaku pada
peringkat awal pembukaan pusat pemindahan sahaja dan keadaan kini lebih
stabil dan bertambah baik serta bekalan keperluan adalah mencukupi. Bagi
kawasan yang terputus hubungan, bantuan dihantar melalui helikopter.
Melihatkan
keadaan semasa banjir yang melanda negara, MKN perhatikan ramai yang
cuba membandingkan Malaysia dengan negara Jepun yang dikatakan lebih
unggul dalam menguruskan bencana. Walaupun ia adalah suatu perkara yang
positif bertujuan penambahbaikan, namun adakah mereka ini sedar bahawa
apabila negara Jepun dilanda bencana, semua pihak di segenap lapisan
masyarakat meletakkan perbezaan fahaman politik dan ideologi mereka
ketepi dan berganding bahu untuk menangani krisis yang dihadapi.
Kerajaan
Jepun seperti lain-lain negara yang dilanda bencana yang diluar
jangkaan atau berskala besar turut mengalami masalah untuk
menguruskannya di peringkat awalan. Menyedari hakikat ini, masyarakat
setempat serta organisasi sukarelawan tempatan memainkan peranan mereka
sebelum ketibaan pihak berkuasa. Mereka ini mempunyai kesedaran tinggi
peranan dan tanggungjawab yang seharusnya mereka mainkan tanpa menuding
jari menyalahkan mana-mana pihak. Ini membolehkan negara mereka untuk
bangkit kembali dengan pantas selepas berlakunya musibah. Masyarakat
Jepun sama ada orang awam atau parti politik tidak memijak di atas
kepala agensi dan anggota penyelamat untuk mendabik dada sendiri.
Dalam
keghairahan kita untuk membandingkan situasi dalam negara dengan negara
luar yang dirasakan lebih ke hadapan, seharusnya kesediaan masyarakat
untuk turut sama menggalas perubahan juga harus diambil kira.Tahap
kesedaran rakyat Jepun terhadap pentingnya untuk bersedia menghadapi
bencana adalah amat tinggi. Menyedari bahawa mereka tinggal di kawasan
yang berisiko menghadapi bencana alam, mereka memberikan kerjasama dalam
melaksanakan langkah persediaan termasuk mengambil insurans bagi
melindungi harta benda mereka.
Mengenai
bantuan berupa wang berjumlah RM500 yang didakwa penulis sebagai
terlalu sedikit, ingin diperbetulkan di sini bahawa ia bukanlah sebagai
pampasan atau ganti rugi kepada kerugian yang dialami mangsa. Terma yang
sebetulnya bagi pemberian wang kepada mangsa ini adalah sumbangan
Bantuan Wang Ihsan kerana ia hanya bagi meringankan beban kepada mangsa
atas dasar keprihatinan kerajaan bagi membolehkan mereka ini memulakan
kehidupan sejurus selepas berakhirnya banjir.
MKN
juga mengambil kesempatan ini untuk menjawab tohmahan kononnya Bantuan
Wang Ihsan terlebih dahulu masuk ke dalam poket segelintir pihak yang
tamak. Sebagai makluman, sumber kewangan bagi peruntukan Bantuan Wang
Ihsan kepada mangsa bencana adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan
Bencana Negara (KWABBN) yang tertakluk kepada tatacara kewangan
kerajaan sedia ada dan proses pengauditan.
Proses
penyerahan Bantuan Wang Ihsan juga tidak dilakukan sewenang-wenangnya,
dan memerlukan dokumen pengenalan diri selain hanya empunya diri iaitu
ketua keluarga yang disahkan dibenarkan untuk mengambilnya. Semua
keluarga yang layak akan diberikan Bantuan Wang Ihsan tanpa mengira
kaum, agama dan fahaman politik waima mereka mengenakan pakaian
melambangkan parti yang disokong sekalipun semasa proses penyerahan.
Hasilnya, akaun KWABBN bebas daripada sebarang komen audit yang negatif
berikutan ia diuruskan dengan baik.
Sebagai
makluman, negara pernah mengalami situasi banjir yang lebih buruk dan
menyeluruh di seluruh negara melibatkan lebih daripada 230,000 mangsa
yang berpindah pada 2010, selain daripada 140,000 mangsa pada 2006 dan
100,000 mangsa pada 2005. Namun, situasi banjir semasa yang
diperlihatkan adalah seolah-olah kerajaan tidak berdaya untuk
menguruskannya, sedangkan mangsa yang terlibat pada ketika ini berjumlah
sekitar 50,000 orang iaitu jauh lebih sedikit. Hakikatnya, realiti di
peringkat lapangan, keadaan ini masih boleh dikawal dan ditangani dengan
baik walaupun terdapat gangguan dan cabaran logistik pada peringkat
awal.
Tujuan
MKN mengemukakan respon bukan disebabkan tidak boleh menerima kritikan
tetapi bagi memperbetulkan salah faham serta kesalahan fakta yang
didakwa oleh banyak pihak termasuk penulis sendiri. MKN menghargai
segala pandangan konstruktif yang diutarakan. MKN sentiasa berusaha
untuk memantapkan dan memperbaiki sistem pengurusan bencana dalam
keadaan perubahan iklim dan senario pembangunan negara yang rancak.
Namun, ia juga perlu mengambil kira keupayaan dan kapasiti negara selain
melihat kepada kebolehmampanan kepada sesuatu usaha yang dilakukan.
Semua
pihak dipohon untuk tidak melihat dari jauh dan mempolitikkan
pengurusan bencana serta mengambil tindakan menyebarkan maklumat yang
boleh menjejaskan kestabilan dan kelancaran operasi banjir yang boleh
merendahkan moral petugas yang sedang bertungkus-lumus memberi khidmat
terbaik kepada masyarakat. Sebaliknya, semua pihak perlu berganding bahu
bagi membantu jentera pengurusan bencana di peringkat tempatan. Nur
Adilla Abd Rahim adalah seorang yang terpelajar. Justeru MKN yakin puan
faham dengan maksud "Good deeds should be spotlighted and not laserred". – 10 Disember, 2013.
* Artikel ini disediakan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
* Artikel ini disediakan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
** Artikel ini telah disiarkan di Malaysian Insider http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pengurusan-bencana-negara-majlis-keselamatan-negara
No comments:
Post a Comment