Friday, March 25, 2011

Finally A Mainstream Paper Picks Up The Story

Further to my previous posting that the Navy should be getting another auxiliary ship, finally Berita Harian reported that the Navy confirmed that their proposal has received the attention of MISC. So can we take it that the Corporation has agreed to the proposal?

TLDM bakal dapat satu lagi kapal pengiring

Oleh Zailani Ahmad
2011/03/25

BAGI melindungi lebih banyak kapal dagang yang mempunyai kepentingan negara daripada ancaman lanun di perairan antarabangsa, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menambah satu lagi kapal pengiring keselamatan tidak lama lagi.

Panglima Angkatan Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada syarikat perkapalan, Malaysian International Shipping Corporation Berhad (MISC) baru-baru ini, supaya menyumbang satu lagi kapal bagi dijadikan kapal pengiring keselamatan dan cadangan itu sudah mendapat perhatian perbadanan berkenaan.

Katanya, usaha itu perlu berikutan banyak syarikat perkapalan antarabangsa menunjukkan minat menggunakan khidmat kapal pengiring TLDM bagi melindungi kargo masing-masing di perairan antarabangsa.

Beliau berkata, sebelum ini MISC menyumbang kapal Bunga Mas 5 kepada TLDM dan berjaya menumpaskan beberapa kegiatan rompakan laut di perairan antarabangsa.

“Kejayaan TLDM membanteras kegiatan lanun di perairan Teluk Aden Januari lalu, membabitkan kapal dagang Bunga Laurel milik MISC, menarik minat banyak kapal dagang untuk menggunakan khidmat kapal pengiring,” katanya selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sarafudin Idris Shah yang berkenan menemui pasukan anggota dan pegawai tentera yang terbabit dalam Operasi Fajar di sini, baru-baru ini.

Pada pertemuan ringkas itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji usaha pasukan itu menumpaskan tujuh lanun warga Somalia yang merompak kapal dagang MISC di perairan Teluk Aden awal Januari lalu.

Baginda juga berkenan menganugerahkan pingat kepada pasukan yang dianggotai Paskal TLDM, unit Gerak Khas Tentera Darat dan Paskau TUDM.

Mengulas usaha membanteras lanun, Abdul Aziz berkata, Operasi Fajar bermula pada 2008 apabila kapal MISC Bunga Melati 2 dan 5 ditawan lanun di perairan Teluk Aden dan TLDM menggunakan KD Lekiu dan KD Seri Indrapura untuk menumpaskan lanun terbabit.

Katanya, kejayaan itu membawa kepada penugasan berterusan kapal TLDM hingga Operasi Fajar 4 dihentikan sementara pada 2009.

“Berdasarkan situasi semasa di perairan Teluk Aden yang masih diancam lanun, penugasan disambung semula menerusi perkongsian strategik bersama MISC dengan menggunakan kapal Bunga Mas 5.

“Langkah ini perlu bagi menentukan keselamatan kapal dagang yang berkepentingan kepada negara ketika melalui perairan Teluk Aden,” katanya.

Sehingga kini, Bunga Mas 5 sudah melaksanakan empat penugasan membanteras lanun dan 231 mengiring kapal dagang berkepentingan negara serta menyelamatkan harta dagangan melebihi RM63 bilion.

“Kejayaan ini memahat satu lagi tanda kematangan serta kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan negara.

“Ia juga membuktikan keberkesanan kerjasama unik antara pasukan laut, darat dan udara dalam misi membanteras lanun dan menjaga kapal dagang berkepentingan negara," katanya.

No comments: